CERITA DAN MENJEJAKI PUSARA BERSEMADINYA DATUK MITAI @ AJAM TENGKU KAYA.
CERITA DAN MENJEJAKI PUSARA BERSEMADINYA DATUK MITAI @ AJAM TENGKU KAYA
DARI KANAN ; Saya, Cikgu Rosnah dan Abang Katik |
1. Nama Datuk Mitai telah terkenal diseluruh Kepulauan Riau, Indonesia sejak awal dekad 1920an lagi. Mengikut cerita saudara terdekat, beliau telah dilahirkan pada sekitar tahun 1871. Beliau adalah berketurunan Minangkabau, dari Pagaruyong, Bukit Ttinggi, Indonesia. Dengan gelaran bernama Ajam Tengku Kaya, Beliau telah meninggalkan kampung halaman di Pagar Ruyong, Bukit Tinggi pada umurnya 25 tahun. Sebagai anak kelahiran Minangkabau, adat Minang, seseorang anak lelaki sebelum meninggalkan kampung halaman hendaklah mempunyai ilmu perdagangan dan ilmu kebatinan yang penuh didada. Dua perkara tersebut ada pada Datuk Mitai.
Dari kiri: Saya, Abang Katik & Cikgu Rosnah |
2. Kami tiga bersaudara; saya, adik kandung, Cikgu Rosnah dan saudara sepupu, Saiful Bahari gelaran pangilan Abang Katik telah meninggalkan Jetty Setulang Laut, Johor Baru menuju Tanjung Pinang, Indonesia. Sebelum itu beberapa bulan dulu saya ada memperlawa Abang Katik yang tinggal di Kuala Lumpur untuk menjejaki pusara Datuk Mitai, dan dia bersetuju. Seminggu sebelum berangkat saya juga mengajak Cikgu Rosnah bersama, dia juga setuju mengikut kami. Tepat jam 9.30 pagi 12hb Jun, 2015 bersamaan hari Jumaat kami bertolak daripada Jetty Setulang Laut menuju ke Tanjung Pinang, Indonesia. Sepanjang perjalanan kami dapat berkenalan dengan penumpang dua beranak lelaki yang baru balik dari Melaka kerana menerima Rawatan di Hospital Pakar Mahkota. Si bapa menghidap sejenis penyakit pakinson. Kedua bertanya tujuan kami datang ke Tanjung Pinang. Setelah saya menyatakan tujuan sebenar, mereka menunjukkan arah sebenar yang hendak dituju. Sesampainya di Jetty Tanjung Pinang dengan pertolongan sahabat tersebut kami dibawa ke sebuah masjid menaiki keretanya untuk menunaikan sembahyang Jumaat. Nama Masjid ialah Masjid Al- Hidayah.
Masjid Al - Hidayah |
3. Setelah selesai menunaikan solat Jumaat, kami dibawa menjamu selera makan
tengah hari Sup Ikan Merah Special di Restoran Aluia, JL. MT. HARYONO.
NO 27. Rasa yang enak dengan harga yang sangat berpatutan. Saya minta
tambahan satu mangkuk lagi sup tetapi Cikgu Rosnah dan Abang Katik serta
dua sahabat menolak, katanya sudah cukup. Setelah membayar harga
makanan, kami minta dihantar ke pasar menjual barangan kering. Saya dan
Cikgu Rosnah membeli beberapa jenis ikan bilis, sotong kering, ikan
sepat kering, ikan kurau kering dan bawang goreng. Tawaran harga adalah
murah jika dibandingkan harga di Malaysia. Setelah selesai membeli
belah, kami pergi ke Jetty Tanjung Pinang dihantar oleh anak sahabat
tadi. Sebagai tanda terima kasih, kami bertukar-tukar alamat dan nombor
talifon, sekiranya datang ke Malaysia boleh menghubungi kami. Saya juga
menghulur sedikit wang saguhati sebagai penghargaan. Kalau tiada orang
membawa kami semasa di Tanjung Pinang, alamat dah tentu kami mengadapi
kesulitan.
4. Kami bertolak dari Jetty Telaga Tanjung Pinang menuju Tanjung Punggur, Batam sekitar jam 3.30 petang. Ferry yang kami naiki memakan masa perjalanan selama satu jam. Dalam perjalanan saya perhatikan Cikgu Rosnah dan Abang Katik terlelap seperti orang kepenatan. Masa itu saya terkenang arwah Datuk Mitai yang pada masa zamanya terkenal menjadi sebutan di Kepulauan Riau terutama sekitar Pulau Tanjung Balai dan sekitar, Tanjung Pinang dan pulau sekitaran seperti Pulau Sambu dan Pulau Belakang Padang.
Bergambar di Restoren Sup Ikan Bersama Cikgu Rosnah |
Sup ikan merah istimewa |
5. Datuk Mitai, setelah berada di kawasan Tanjung Balai, beliau berkahwin dengan nenek saya bernama Tok Tijah, dikurniakan lima orang anak, pertama bernama Fatimah, kedua Saadiah, ketiga Som (ibu saya dan Cikgu Rosnah ), keempat Anis (Bujang ) dan akhir Muhammad. Kesemua mereka telah meninggal dunia. Fatimah, sejak dilahirkan tinggal di pulau Buru, semasa mencapai umur anak dara berkahwin dan telah berhijrah dan menetap di Singapura sehingga meninggal dunia. Saadiah menetap di Pulau Buru sehingga berkhawin dan meninggal di Pulau tersebut. Som, ibu saya telah dilahirkan di Pontian, Johor dan telah diberi kepada seseorang yang tinggal di Ayer Baloi, Pontian, Johor. Mengikut cerita Datok Mitai dan isteri pergi berdagang ke Pontian dan telah melahirkan ibu saya sekitar tahun 1930. Masa itu ada seoorang kaya tinggal di Ayer Baloi berkehendakan saorang anak angkat, secara kebetulan ibu saya dilahirkan. Datuk Mitai dengan ikhlas menyerahkan ibu saya itu kepada pasangan suami isteri, Tok Maasan dan Andom. Mereka menerima ibu saya sebagai anaknya. Beberapa kali Datuk Mitai dan Tok Tijah pergi menjengok ibu saya tetapi tidak dikehendaki, ditakuti akan mengambilnya semula daripada ibu angkat, akhirnya ibu bapa kandung itu pulang ke Indonesia kerana merajuk dan kecewa dan tidak datang-datang lagi ke Pontian. Keempat, Anis telah diberi kepada seseorang dan kelima Muhammad juga diberi kepada seseorang untuk memeliahara. Kedua-duanya diberi kepada orang Singapura. Mengikut ceritanya, kebanyakan anak-anak Datuk Mitai diberikan kepada orang, ini disebabkan kerana beliau tidak boleh memeliahara anak kerana "Panas " atau susah kerana beliau berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat kerana berdagang. Yang baiknya semua anak-anak yang diberi kepada orang mendapat kehidupan yang terjamin dan sempurna.
6. Beliau pernah berkahwin sebelum mengahwini Tok Tijah dengan orang Perak. Telah dikurniakan dengan tiga orang anak perempuan iaitu yang tua bernama Rahmah kedua bernama Samsiah. Keduanya telah meninggal dunia. Yang tua menetap di Kota Tinggi dan yang kedua menetap di Slim River, Perak. Mengikut cerita saorang anak lelakinya telah diberi kepada orang di Negeri Sembilan, sampai sekarang tidak dapat jumpai dan dikesan.
7. Keistemewaan Datuk Mitai ialah dari segi ilmu kebatinan iaitu daun boleh menjadi duit. Kain pengelap boleh hilang sekelip mata. Boleh mengaburi mata Penguasa barangan seludupan daripada getah keping boleh menjadi nasi kering. Keistemewaanya ialah beliau boleh membuat Gula Semitai dan Alussemitai. Dua produk tersebut menyebabkan dia terkenal di seluruh Kepulauan Riau, sekitar Pontian dan sebahagian di Negeri Sembilan.
8. Beliau mempunyai anak murid sekitar Kepulauan Riau. Kebanyakan ilmu kebatinan yang diperolehinya adalah "panas." Pernah bapa saudara saya bernama Muhammad berkehendakan ilmu iaitu daun boleh menjadi duit tetapi tidak diberinya, ditakuti akan menyalahi jika mendapat ilmu tersebut, tapi ilmu yang berupa kebaikan seperti mengubati sakit pening, anak-anak meracau, sakit kembung perut dan sakit meracau akan diberinya. Beliau pernah berpesan kepada muridnya di Tanjung Pinang kalau cucunya hendak menuntut ilmunya jangan diberi, kecuali ilmu yang baik-baik. Satu lagi pesannya kalau dia meninggal dunia, nisannya jangan diletak pada tanah perkuburan.
9. Menurut ceritanya, paras rupa dan gaya berjalan Datuk Mitai seiras bapa saudara saya iaitu Cik Anis. Adik beradik emak sebapa dengan ibu saya, Som. Cik Anis orangnya berwarna cerah, berdahi luas, hidung mancung, telinga lebar, tidak gemuk, mata nampak dalam dan bulu kening yang lebat. Tidak pernah menunjukan sifat amarah Itulah paras rupa Datuk Mitai.
10. Perjalanan kami memakan masa selama satu jam. Tepat jam 4.30 petang kami sudah sampai di Pelabuhan Telaga Punggur, Batam. Kami menaiki Taxi yang memakan masa 45 minit dengan bayaran Rupiah 180,000, kami telah dihantar ke Pelabuhan Pancung, Sekupang. Kami terus menaiki Bot Pancung dengan 50 kuasa kuda, perjalanan mengambil masa 15 minit menuju ke Pulau Belakang Padang dengan dikenakan tambang rupiah 15,000 seorang. Boat Pancung tersebut boleh memuat antara 12 ke 15 orang penumpang sekali perjalanan Boat tersebut menggunakan enjin sangkut dan ditutup dengan penutup kanvas mengelak daripada terkena simbahan gelombang dan hujan.
11. Kami telah sampai di Jetty belakang padang, duduk beberapa ketika dan cuba bertanyakan orang-orang di Jetty yang mungkin kenal dengan nama Puan Pindah yang tinggal di Pulau belakang Padang. Setelah bertanya, saorang mencadangkan kami pergi ke Tanjung Rawa Sari. Kami telah menyewa dua buah beca meminta penarik beca menghantar tempat yang di tuju, alhamdulliah kami dihantar betul-betul depan rumah yang dicari. Tuan rumah, Puan Pindah, dan anaknya yang uzur tidak boleh berjalan sedang berbual-bual dua beranak. Mereka tidak kenal kami, tetamu yang tidak diundang. Setelah mengenalkan diri baru mereka kenal kami dan mempersilakan masuk kerumahnya. Tak lama kemudian menantu Puan Pindah, Ahmad pulang ke rumah dan mengenalkan diri. Kami berbual panjang dengan Ahmad tujuan kami datang, kebetulan hari tu dia tidak berkerja. Dia mencadangkan esoknya jam 8.30 pagi kami akan dibawa ke kawasan perkuburan Datuk Mitai. Ahmad bertugas sebagai Pengawas dan ditempatkan di pusat Perbandaran Batam. Dia telah disambung kontrak oleh majikanya selama dua tahun lagi.
12 Kami dijamu dengan makanan malam di rumah Puan Pindah dengan nasi berlaukan Sate, dan sup. Sungguh menyelerakan. Sebelum tidur kami berbual-bual dan bertanya hal keluarga masing-masing. Puan Pindah adalah cucu Datok Mitai daripada anak yang bernama Rahmah dengan gelaran Mak Tua. Dia mempunyai tiga orang anak yang bernama Hayati ( telah meninggal ), Puan Pindah sedang menetap di Pulau Belakang Padang dan Rasdi, persara daripada TNB yang dulunya dikenali sebagai Lembaga Lektrik Negara, tinggal di Bangi Selangor. Datuk Mitai telah meninggal di rumah Puan Pindah di Pulau Sambu, Pulau bersebelahan dengan Pulau Belakang Padang. Malangnya Puan Pindah telah menghidap sakit tua dan tidak dapat menceritakan hal berkenaan Datuk Mitai. Suaminya yang bernama Hj Saimin bin Imandrio banyak mengetahui cerita Datuk Mitai kerana sebelum meninggal dunia Datuk Mitai memang tinggal di rumahnya, malangnya Haji Saimin meninggal pada pada tahun 2007.
Bergambar bersama tuan rumah, Puan Pindah (kanan sekali) |
13. Setelah sarapan kami telah dibawa oleh Ahmad ke kawasan pusara dimana Datuk Mitai di semadikan. Mengikut Ahmad tanda kubur datuk tidak kelihatan kerana dia meminta supaya tidak di letak batu nisan sebagai tanda. Dia meninggal sekitar tahun 1961 sudah memakan masa 54 tahun. Kalau ada tanda dengan tiang nisan daripadi batang kayu pun tentu sudah reput dan tidak dapat dikesan, ataupun telah berlaku hakisan kerana kawasan perkuburan Belakang Padang itu keadaan kontor tanah berbukit dan cerun. Kami sempat berada dikawasan perkuburan dan berjalan sekitar kuburan. Melihat pokok gagus yang besar dan bangsal pondok tempat meletakan jenazah sebelum dikebumikan. Bangsal yang telah didirikan semasa penjejak Belanda dan pokok gajus yang besar rendang saolah-olah dapat merakam detik datuk kami disemadikan pada masa itu. Akhirnya kami membaca doa untuk datuk dan bersekali dengan Haji Saimin .
Di kawasan perkuburan Datuk Mitai bersama En. Ahmad |
14. Walaupun kami tidak dapat menemui tanda kubur Datuk Mitai, tetapi kami puas, kerana arwah Datuk telah berpesan kalau beliau meninggal dunia, makamnya jangan di letakan nisan pada perkuburanya, itu pesanya.
Penerangan dari En. Ahmad |
15.Setelah kami ziarah tanah perkuburan Datuk kami itu, masa dirumah Puan Pindah kami bertiga berpakat memberi sedikit wang belanja minta dibacakan tahalil arwah datuk kami sempena menyambut bulan Ramadan. Kebetulan Ahmad tidak bertugas pada hari Sabtu beliau telah bersetuju menghantar kami pulang sehingga ke Batam Central dimana Ferry membawa kami untuk pulang ke Malaysia. Selepas mengucapkan terima kasih dan sama bermafaan kami meninggalkan Belakang Padang. Semasa didalam bot Pancung saya masih teringat Datuk Mitai @ Ajam Tengku Kaya seorang yang dikenali seluruh Kepulauan Riau tetapi saya tidak pernah menemuinya. Saya berdoa supaya rohnya dicucuri rahmat Oleh-Mu Ya Allah, amin.
Duduk di dalam bot pancung yang ditutupi kanvas |
16. Sebelum menaiki Ferry meninggalkan Batam Centre menuju ke Setulang Laut, kami telah bermaafan dengan Ahmad yang baik hati melayan kami semasa di rumah mertuanya, Puan Pindah. Semasa di dalam Ferry menuju ke Malaysia saya berdiri di sebelah belakang Ferry dengan begitu sayu meninggalkan Datuk Mitai yang bersemadi tenang di sebuah Pulau Belakang Mati itu. Alhamdulliah kami selamat menjejaki Jetty Setulang Laut tepat jam 4,30 petang, disambut dengan hujan yang renyai-renyai.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home